Kuala Lumpur: Sebelas rakyat Malaysia kini berada di Korea Utara ketika Pyongyang mengeluarkan arahan melarang rakyat Malaysia daripada meninggalkan negara itu.

Kakitangan Kedutaan Malaysia di Pyongyang yang enggan dikenali berkata, tiga daripadanya adalah pegawai kedutaan manakala selebihnya ahli keluarga mereka.

“Maaf saya tidak dapat mengeluarkan sebarang kenyataan tetapi kami selamat dan bekerja seperti biasa di kedutaan.

“Kami memang terima banyak panggilan daripada wartawan hari ini.

“Sebelas semuanya (rakyat Malaysia). Tiga pegawai dan selebihnya ahli keluarga,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Korea Utara hari ini melarang semua rakyat Malaysia daripada meninggalkan negara itu.

“Semua rakyat Malaysia di Korea Utara akan dilarang buat sementara waktu daripada meninggalkan negara ini sehingga peristiwa yang berlaku di Malaysia diselesaikan secara teratur,” kataAgensi Berita Pusat Korea.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua pegawai kedutaan dan kakitangan Korea Utara juga dilarang keluar dari Malaysia.

“KDN (Kementerian Dalam Negeri) menerusi Jabatan Imigresen mengeluarkan arahan bahawa tidak ada mana-mana pegawai atau kakitangan yang berada di kedutaan DPRK yang dibenarkan untuk keluar daripada negara ini.

“Penguatkuasaan ini adalah arahan serta merta kepada semua pintu keluar Jabatan Immigresen seluruh Malaysia,” katanya di parlimen hari ini.

Difahamkan sekurang-kurangnya 14 pegawai kedutaan dan kakitangan Korea Utara berada di sini.

Duta Besar Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol yang terlebih dahulu diisytiharkan persona non grata pula pulang ke Korea Utara kelmarin susulan kritikannya terhadap Malaysia mengenai pembunuhan Jong-nam.

Duta Besar Malaysia ke Korea Utara, Mohamad Nizan Mohamad yang diisytiharkan persona non grata oleh kerajaan Korea Utara semalam sudah berada di sini selepas dipanggil pulang pada 20 Februari lalu.

-myMetro