LANGKAP: Kami sudah letih menghadapi banjir yang sering berlaku sejak kebelakangan ini, tolonglah kami.

Itulah antara rintihan penduduk Kampung Degong dan Kampung Sungai Rambai di sini yang menjadi mangsa banjir apabila rumah mereka dinaiki air minggu lalu.

Sehubungan itu, mereka memohon jasa baik pihak-pihak yang berkenaan supaya mengambil langkah jangka panjang agar banjir tidak lagi menghantui mereka setiap kali hujan.

Mangsa banjir di Kampung Sungai Rambai, Mohd Ali Hassan, 50, berkata, banjir telah menyebabkan banyak kerugian, yang mungkin tidak besar bagi orang tertentu, tetapi ia sangat besar bagi orang kampung sepertinya.

“Untuk jangka panjang, diperbaiki baliklah, ambillah tindakan segera untuk membina semula sistem perparitan untuk kami semua mangsa banjir,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian bantuan kepada 53 mangsa banjir di Dewan Orang Ramai Degong pada Ahad.

Bantuan berupa kotak makanan, ikan dan wang tunai itu diserahkan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajudin Abdul Rahman.

Habibah Surat, 80 dari Kampung Degong pula berkata, banjir minggu lalu lebih teruk berbanding yang berlaku di masa-masa lalu, sehingga memaksanya dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di SK Kg Degong.

“Harapan minta-minta pada tuhan, ya Allah jangan sampai lagi, tak lalu lagi…dah jadi macam ni, kena tunggang langgang, air dalam, tak tau nak cakap dah, tak tau nak cerita,” ujarnya.

Habibah bagaimanapun bersyukur kerana turut menerima pelbagai bantuan, termasuk daripada beberapa wakil rakyat.

Sementara itu, Tajudin meminta pihak berkenaan, khususnya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) jangan terlalu berkira dari segi kos untuk mengatasi banjir.

“Saya menyeru kepada pihak-pihak, jabatan-jabatan yang berkenaan supaya berfikir secara diluar kotak dan berfikir secara besar, think big…jangan sempit sangat…kalau nak buat ini kena belanja banyak, banjir besar, dengan itu kita tak usaha buat.

“Besar belanja, besar kos dia untuk membina segala kemudahan, saliran perparitan ini berbaloi kerana ianya akan menyelamatkan kerugian yang mungkin lebih besar daripada kos membangunkan infrastruktur, membangunkan kemudahan-kemudahan saliran ini,” kata beliau.