GEORGE TOWN – Kisah lara pemilik tanah Kampung Mutiara, Batu Feringghi di sini sejak 26 tahun lalu akhirnya menemui jalan penyelesaian apabila 70 keluarga yang mendiami 40 rumah di Lot 39 dan 40 di situ terpaksa akur dengan arahan mengosongkan kediaman dalam tempoh tiga bulan mulai semalam.

Tuan tanah, Loke Leng Seak, 67, kini boleh menarik nafas lega apabila usahanya mendapat semula hak pemilikan tanah yang dibelinya dalam satu lelongan pada 1991 dengan harga RM1.4 juta berhasil.

Difahamkan, nilai hartanah itu ketika ini mencecah kira-kira RM20 juta.

Menurut bekas jurutera sebuah syarikat penerbangan itu, dia berpuas hati dengan keputusan yang dicapai hasil perbincangan dengan Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mohd. Rashid Hasnon bersama Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail yang diadakan di Balai Polis Batu Feringghi pagi semalam.

“Selama 26 tahun saya menunggu perkhabaran baik ini. Dalam tempoh itu saya terpaksa naik turun mahkamah sejak tahun 2007.

“Saya bersetuju menerima keputusan perbincangan termasuk memberi tempoh tiga bulan untuk penduduk berpindah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

-Kosmo Online