PENEMPATAN awal di Ipoh bermula pada awal 1800 dan berkembang sepanjang Sungai Kinta. Penduduk Melayu yang awal meneroka Ipoh tinggal di Kampung Ipoh dan Kampung Paloh sebelum membesar dan membuka Kampung Pari dan Kampung Jawa.

Tahun 1890an melihat kedatangan imigran China secara beramai-ramai semasa kehangatan industri timah di Ipoh. Bandar ini mempunyai beberapa nama gelaran seperti Bandar Bijih Timah, Bandar Jutawan, malah dipanggil Paloh oleh masyarakat Cina tempatan merujuk kepada pam gergasi yang digunakan dalam pengekstrakan bijih timah.

Ia juga dikenali sebagai Bandar Bougainvillae yang merujuk kepada bunga tersebut yang menjadi simbol negeri. Kampung Paloh merupakan antara penempatan Melayu terawal dibuka di Ipoh kira-kira tahun 1930- an.

Tidak banyak sejarah atau cerita yang boleh didapati berkenaan kampung ini, menyebabkan ia semakin dilupakan dan ketinggalan di sebalik arus pembangunan yang semakin pesat. Suara Perak berpeluang meninjau dan berkunjung ke Kampung Paloh yang terletak kira-kira 3.2 kilometer dari pusat bandar Ipoh dan bertemu dengan dua orang penduduk yang berkongsi serba sedikit maklumat

Antara rumah asal yang terdapat di sini

berkenaan kampung ini. Dari jalan utama, bangunan baru dan deretan premis menjual kereta terpakai kelihatan di bahu jalan sebelum kami membelok ke lorong menuju Kampung Paloh. Rumah pertama yang kami lihat merupakan sebuah rumah yang berfungsi sebagai kedai runcit, menjual pelbagai barangan keperluan harian.

Kampung kecil kira-kira sepanjang satu kilometer dengan deretan rumah yang membarisi sebatang jalan raya berturap yang hanya boleh dilalui oleh sebuah kereta pada satu-satu masa hening dan sunyi seperti kampung biasa dilihat.

Kampung Tumpuan Kerana Dekat Dengan Bandar

Peluang bertemu dengan generasi ketiga penduduk asal kampung itu, Hamid Yahya, 63, beliau menceritakan serba sedikit perihal Kampung Paloh mengikut ingatannya. “Asalnya, opah saya Allahyarham Fatimah yang tinggal di sini sejak 1945.

Semasa itu beliau bekerja sebagai bidan. Saya pun kurang pasti bila kampung ini dibuka secara tepat. Sewaktu itu, Allahyarham ibu saya, Wan Lun Kulop Yaakop pun masih dalam usia belasan tahun. “Saya lahir pada tahun 1955 dan membesar di sini bersama adik-beradik dan kawan-kawan yang lain. “Kalau dulu orang balik raya, kami tak balik raya sebab kampung di sini. Kawan-kawan tanya tak balik kampung ke beraya? Saya jawab mana ada kampung, sini lah kampung, Kampung Paloh kampung saya sampailah sekarang,” ujar beliau berkongsi cerita.

Sekitar tahun 1965, ketika beliau berusia 10 tahun, Hamid berkata penduduk di Kampung Paloh terdiri daripada penarik beca dan lanca. Kawasan itu menjadi tumpuan lantaran lokasinya berdekatan dengan pekan Ipoh pada ketika itu. “Penduduk sini ramai, penarik beca dari kampung semua singgah di sini. Kampung ini menjadi tempat persinggahan untuk pergi ke bandar kerana kampung ini dekat.

Jarak dari sini nak ke pekan pada masa itu hanya dua benteng atau anggaran antara 2 kilometer hingga 3 kilometer,” tambah beliau. Hamid berkata, oleh kerana itu banyak rumah sewa dibina dan disewakan untuk memudahkan penduduk pada ketika itu. “Kalau tidak silap saya, ada sekitar 50 buah rumah ketika itu, kebanyakannya rumah panjang tiga dan empat pintu yang dibina dan disewakan kepada orang Melayu yang ingin tinggal di sini. Akan tetapi, sekarang cuma tinggal lapan buah rumah yang masih berpenghuni manakala bahagian belakang kampung itu telah ditumbuhi hutan dan semak samun.

Rumah milik ayah Abdul Rahim yang masih teguh berdiri.

Pembangunan Terbantut

Apa yang menarik, Kampung Paloh cuma dipisahkan dengan sebatang tiang lampu dengan sebuah lagi kampung iaitu Kampung Temiang Lama. Kemudahan di kampung ini hanyalah kemudahan asas iaitu elektrik dan air serta jalan berturap yang menghubungkan ia dengan Kampung Temiang dan Kampung Sri Kinta. Jika dilihat pada pembangunan di sekitar, terdapat satu projek rumah PR1MA @ Kampung Paloh yang telah siap, dua buah bangunan rumah kedai dan deretan rumah banglo membuatkan Kampung Paloh seperti terpinggir dalam kelompoknya yang tersendiri.

Menurut Hamid, pembangunan menjadi terhad lantaran bilangan rumah semakin berkurangan dan mereka berkongsi ketua kampung dengan Kampung Temiang. “Jika diikutkan, sekarang yang tinggal di sini tidak ramai orang lama, kerana mereka yang berkemampuan telah keluar dan membina penempatan atau rumah di Kampung Sri Kinta.

“Namun, saya masih bertahan kerana sayangkan kampung ini dan telah membina rumah yang selesa untuk didiami untuk kami sekeluarga. Cuma, saya agak terkilan kerana masih belum menerima geran walaupun telah lama membayar cukai tanah kepada Majlis Bandaraya Ipoh. “Alamat kami Kampung Temiang pun boleh, Kampung Paloh pun boleh, jadi ni Jalan Datuk,” kata Hamid sambil menunjukkan resit bayaran cukai taksiran. “Kampung Paloh ini merupakan kampung di tengahtengah pekan. Rumah di sini semua di bawah Jabatan Parit dan Saliran (JPS) Negeri Perak.

Jika boleh, kami mahu minta geran sebagai bukti tanah tapak rumah kami ini adalah sah. “Setakat ini, kami tinggal di sini atas budi bicara JPS yang mengatakan kami masih boleh tinggal selagi tiada projek untuk melebarkan sungai atau mengambil semula tanah ini,” kata beliau.

Kawasan Tumpuan Masyarakat Cina Dan Melayu

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Abdul Rahim Mohamad, 59, berkata Kampung Paloh dahulunya menjadi tumpuan masyarakat Melayu khususnya sebelum ada yang membuka penempatan setinggan dan memiliki tanah di Kampung Sri Kinta.

“Suasana Kampung Paloh pada ketika itu ada juga orang Cina. Keluasannya pula dari bangunan tinggi (PR1MA @Kampung Paloh) sampai pangsapuri di hadapan berdekatan simpang jalan. Saya tidak pasti berapa ekar, kiranya Kampung Paloh ini satu lot memanjang,” kata pesara tentera itu yang merupakan penduduk generasi kedua KampungTemiang Lama. Rahim berkata, pada tahun 1960an, Kampung Paloh lebih dikenali sebagai kawasan kongsi gelap Cina. “Ikutkan Kampung Paloh dan Kampung Temiang Lama ini samasama dibuka, cuma di sana ada orang Cina yang terlibat dengan kongsi gelap.

Lagipun rumah sewa yang ada di sana juga dimiliki oleh orang-orang Cina. “Kampung Temiang Lama ini pula lebih kepada orang Melayu. Oleh kerana untuk masuk ke sini harus menempuh kawasan kongsi gelap Cina maka orang luar tidak berani mahu masuk ke sini. Malah teksi pun takut nak ambil atau hantar penumpang ke sini,” kata beliau mengingati detik itu. Walaupun begitu, menurut Rahim, ahli kongsi gelap tersebut tidak membuat kacau dan mengganggu masyarakat Melayu. “Kami buat hal masing-masing dan suasana agak harmoni.

Rumah Abdul Rahim yang dahulunya menjadi rebutan para penyewa.

Mungkin juga kerana mereka telah mengenali dan cam muka para penduduk di sini jadi tiada masalah,” katanya lagi. Menyentuh mengenai sejarah Sungai Kinta yang berada di hadapan rumah pusaka tinggalan arwah ayah beliau Allahyarham Mohamad Kulop Rasin, Abdul Rahim berkata ketika kecil, beliau turun mandi di dalam sungai itu.

“Sejarah dulu sungai bersih ni boleh mandi, tak lama kemudian orang Cina mendulang bijih timah. Sungai Kinta ini dalam sejarah ada bijih timah memang bersih dan jernih air sungainya sehingga batu pun kita boleh nampak,” imbas beliau. Abdul Rahim turut mengenang kembali kenangan mandi menggunakan air telaga dan berlampukan api dari pelita ketika zaman kanak-kanak beliau.

Abdul Rahim menunjukkan lokasi telaga yang digunakan sewaktu
kecil dahulu.

“Kami menerima kemudahan elektrik pada sekitar tahun 1970-an manakala air pula pada awal 90-an,” kata beliau mengakhiri bicara. Suara Perak kemudiannya berkunjung ke Muzium Darul Ridzuan untuk cuba mendapatkan dokumen atau gambar berkenaan sejarah Kampung Paloh, namun kami dimaklumkan bahawa sekiranya ada, dokumen tersebut telah dihantar ke Arkib Negara Negeri Perak.

Semakan kami di Arkib Negara Malaysia Cawangan Perak mendapati ia hanya menyimpan dokumen bermula tahun 1994 dan segala dokumen sebelum itu telah dihantar ke Arkib Negara Malaysia.

Keadaan Sungai Kinta