Pengunjung terutama mereka yang pertama kali menjejak kaki ke penempatan Orang Asli Kampung Semelor di Hutan Royal Belum sudah pasti akan berasa kagum dengan masyarakat asal di sini. Masakan tidak, kampung yang hanya boleh diakses melalui perjalanan bot selama lebih sejam menyusuri tasek Temenggor daripada jeti Pulau Banding amat berlainan dengan perkampungan orang asli yang pernah dikunjungi.

Persekitaran yang kotor bukanlah satu pemandangan luar biasa di penempatan Orang Asli tetapi keadaan yang sebaliknya berlaku di Kampung Semelor ini. Biarpun jauh nun di pendalaman, rata-rata masyarakat di sini mengamalkan gaya hidup yang bersih dengan kehijauan rumput yang tersisir rapi bak karpet terbentang dan deretan rumah yang begitu tersusun.

Benarlah sepertimana yang digambarkan Pengarah Eksekutif Yayasan Emkay Datuk Fazwinna Tan Sri Mustapha Kamal, kampung ini cukup bersih, tenang dan seolah-olah dirangka untuk destinasi pelancongan. Beliau ditemui semasa sesi lawatan Menteri Besar Perak, YAB MB Ahmad Faizal Azumu ke perkampungan tersebut baru-baru ini. Malah Menteri Besar beliau mengakui bahawa terdapat banyak elemen murni yang boleh dicontohi daripada penduduk suku Temiar itu di luar sana.

Masyarakat Orang Asli terkenal dengan kemahiran menghasilkan peralatan untuk kegunaan harian.

Katanya, udaranya yang bersih dan susun atur setiap rumah menjadikan kampung itu amat menarik malah ‘kampung angkat’ yang ditatang penuh kasih oleh Yayasan Emkay di Hutan Simpan Royal Belum itu mencerminkan keberkesanan kerjasama utuh antara badan swasta dan masyarakat pedalaman. “Apa yang dilakukan oleh Yayasan Emkay ini wajar dicontohi oleh agensi dan badan kerajaan lain, mereka tentunya perintis bagi kolaborasi bersama dua pihak seperti yang disarankan kerajaan negeri, saya pasti akan menyokong gerak kerja dan usaha murni ini malah kerajaan negeri terbuka untuk menerima sebarang cadangan daripada Emkay untuk membawa usaha ini ke seluruh Perak kelak,”katanya dalam sidang media ketika ditemui di Kampung Semelor, di sini baru-baru ini.

Ahmad Faizal yang meluangkan masa meninjau kelas jahitan untuk kaum wanita, Toy Library iaitu pembelajaran interaktif buat kanak-kanak serta pelbagai kemahiran di kampung itu meluahkan rasa kagum dan teruja dengan pencapaian masyarakat kaum peribumi itu. Kampung Semelor, bukanlah sebuah perkampungan yang boleh dipandang sebelah mata kerana ianya telah merangkul Anugerah Kampung Ketiga Terbersih Peringkat Kebangsaan pada 2002, Naib Juara Kampung Terbersih Perak pada tahun 2002 selain dinobatkan Kampung Paling Bersih di Perak selamadua tahun berturut-turut pada tahun 2005 hingga 2006.

Penduduk Kampung Semelor menjadi contoh kepada kampung yang lain dari sudut kerjasama serta penjagaan alam sekitar.

Diangkat sebagai Kampung Pelancongan pada tahun 2011, Tok Batin, Pak Samad Jeranggong, 62, berkata bukan mudah untuk melatih sikap kendiri iaitu mementingkan kebersihan dan menjaga baik tingkah laku serta memantapkan prestasi akademik di kalangan anak-anak buahnya. Katanya, beliau tidak ingin melihat penduduk kampung itu dijangkiti penyakit disebabkan sikap membuang sampah, leka dengan kebersihan diri serta mengambil mudah aspek kekeluargaan.

“Yayasan Emkay telah membantu membentuk kampung ini sejak 10 tahun lepas, dan antara perubahan ketara adalah Toy Library yang membawa masuk sukarelawan dan tenaga pengajar untuk mendidik anak-anak muda. Tambahnya Toy Library ini memberi kesan positif kepada perkembangan kognitif, sosio-emosi dan fizikal kanak-kanak. Kombinasi permainan dan buku di Toy Library membuatkan kanak-kanak terbabit terutamanya daripada kelompok Orang Asli semakin berminat mendekatkan diri dengan bahan bacaan. “Hari ini, saya boleh katakan prestasi mata pelajaran mereka meningkat,malah mereka cepat memahami sebarang subjek sedangkan dulu susah bagi melihat ada pelajar dapat melanjutkan pengajian ke Tingkatan Satu,”katanya lagi.

Jelasnya,beliau berharap agar kerajaan negeri meneruskan usaha membangunkan kampungnya dari segi kemudahan-kemudahan asas seperti rumah, kemudahan elektrik, dan jalan raya. Sementara itu, Norhayati Lahi, 42, berkata kehidupan kaum wanita suku Temiar di perkampungan itu berubah apabila wujudnya kelas jahitan yang dikendalikan oleh beliau.

Pemegang Diploma Seni Jahitan yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu berkata beliau dibawa ke kampung itu oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk memberi tunjuk ajar seni jahitan kepada kaum wanita di kampung itu. “Setiap hari, kelas bermula jam 8 pagi hingga 5 petang, dan saya nampak sendiri perubahan setiap wanita di sini, di mana mereka dahulu tidak boleh menjahit tapi kini boleh menjahit baju kurung Kedah dan macam-macam lagi.

“Satu hari kelak, mereka pasti akan dapat mencari pendapatan sendiri,”jelasnya yang juga kaum Orang Asli suku Temuan. Dengan seramai 30 orang pelajar wanita di kelasnya, Norhayati berharap ilmu yang diberikan akan digarap sebaiknya untuk dijadikan punca rezeki pada masa depan.

BERSIH, INDAH… suasana di Kampung Semelor yang mendamaikan sesiapa sahaja yang berkunjung ke sini.