TAHUKAH anda nama asal Kampung Tawai yang terletak di mukim Gerik sebenarnya diperoleh daripada nama sebatang pokok dinamakan Pokok Tawai? Menurut Lagenda Hulu Perak pokoknya banyak tumbuh meliar di sekitar hutan yang mempunyai teduhan dan berudara nyaman.

   Diceritakan Pokok Tawai adalah dari spesis pokok Ara  kulitnya boleh digunakan sebagai tali untuk menjerat pelanduk yang terdapat banyak di sekitar kampung tersebut, begitulah betapa penting dan kuat struktur pokok ini sehingga mampu dijadikan sebagai umpan.

   Ahmad Sabudin Wan Teh, 86, salah seorang generasi tua yang mewarisi cerita dari ibu dan datuk, beliau menceritakan Kampung Tawai dibuka oleh Tok Yaakob dan Tok Ahmad yang berasal dari Pattani di Selatan Thailand sekitar penghujung tahun 1890.

  

Mereka merupakan pedagang yang sering berulang alik membawa barangan dagangan ke Hulu Perak dan sekitarnya berikutan permintaan yang tinggi di kawasan terbabit dan masyarakat yang ramai membuka penempatan di situ.

   “Kerbau adalah barang dagangan utama oleh kedua-dua pedagang berkenaan yang hanya berjalan kaki mengheret kerbau untuk dijual di Perak.

  Oleh sebab perjalanan membawa barangan perniagaan memakan masa yang agak panjang, kedua-duanya telah berpekat untuk jadikan tempat persinggahan sementara sebelum meneruskan perjalanan seterusnya ke tempat lain,” kata Sabudin.

   Setelah sampai di Pattani, mereka menceritakan kepada sanak saudara tentang penempatan yang baru dibuka. Maka ramailah sanak saudara kedua-duanya mengikut mereka untuk menetap di penempatan baru ini.

   Hasil hutan digunakan sepenuhnya bagi meneruskan kelangsungan hidup kerana mereka tidak mempunyai sumber lain dan memandangkan ketika itu hanya Pokok Tawai yang tumbuh begitu banyak di sekeliling kawasan terbabit lalu boleh dipelbagaikan kegunaannya.

Perusahaan Tanaman Fertigasi

Kini Kampung Tawai semakin popular dengan projek tanaman sayuran seperti timun (fertigasi gantung), kacang panjang, labu air, jambu batu, betik dan lain-lain tanaman. Juga terdapat pelbagai inovasi yang dijalankan untuk pemerhatian oleh pengusaha yang terlibat.

  

 

 

Selain itu, Pegawai daripada Pasukan Teknikal Jabatan Pertanian Negeri Perak turut sama memberi tunjuk ajar dan memantau peserta yang terlibat di dalam projek tanaman tersebut, mereka diberikan khidmat nasihat teknikal yang berkaitan.

  

Sedikit sebanyak memberi pulangan dan sumber ekonomi kepada penduduk sekitar dan menggalakkan pengusaha untuk mengamalkan pertanian organik, yang lebih selamat dan berkesan. Sistem tanaman giliran turut diberi penekanan bagi tujuan kawalan penyakit dan serangga perosak.