TELUK INTAN: Pembinaan kampus cawangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Teluk Intan bakal memberi impak ekonomi kepada penduduk sekitarnya secara langsung apabila ia mula beroperasi pada penghujung tahun hadapan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, kampus yang bakal menampung 2,000 pelajar serta 200 tenaga pengajar dan kakitangan mampu menjana ekonomi sehingga RM1 juta kepada penduduk sekitar.

“Seramai 2,000 pelajar bakal ditempatkan di sini di mana 1,000 di dalam kampus dan 1,000 lagi di luar kampus, ini belum lagi termasuk keluarga dari 200 tenaga pengajar dan kakitangan, sudah tentu penduduk sekitar akan mendapat nikmatnya.

“Saya yakin melalui kampus ini kita akan melihat Teluk Intan akan terus membangun,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penyerahan projek fasa dua pembinaan kampus tersebut di Teluk Intan pada Khamis.

Turut hadir, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Teluk Intan, Datuk Seri Mah Siew Keong.

Tambah Idris, pembinaan kampus bernilai lebih RM177 juta itu sekaligus akan menjadikan Teluk Intan sebagai hub pendidikan di selatan Perak yang mana ketika ini mempunyai Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kolej Komuniti.

Katanya, pembinaan kampus untuk Fakulti Teknikal dan Vokasional UPSI di kawasan seluas 32 hektar di Changkat Jong juga merupakan janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Teluk Intan pada tahun 2014.

“Ini merupakan bukti bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa akan melaksanakan apa yang telah janji, diharap masyarakat menyedari bahawa kerajaan hari ini berada dalam keadaan stabil serta terbaik,” ujarnya.

Sebanyak 10 program bakal ditawarkan dalam bidang Teknikal dan Vokasional di kampus yang bakal beroperasi pada penghujung tahun hadapan.