KEGEMBIRAAN sembilan pembantu restoran warga Thailand yang ingin masuk ke negara ini selepas bercuti di kampung halaman bertukar sebaliknya apabila mereka ditahan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Malaysia (ICQS), di Padang Besar, selepas positif syabu semalam.

Jurucakap Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perlis berkata, kesemua mereka ditangkap dalam Op Cegah Sempadan Bil 01/09 antara jam 2 hingga 5 petang.

“Dalam operasi itu, pihak AADK dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar menyasarkan pekerja asing warga negara jiran yang bekerja di dalam negara ini.

“Kesemua mereka yang berusia antara 17 ke 30 tahun pulang ke kampung masing-masing di Thailand selepas majikan mereka menutup operasi restoran berikutan cuti peristiwa negara baru-baru ini dan ingin masuk semula bagi memulakan tugas hari ini.

“Mereka yang ditahan didapati positif methamphetamine ketika menjalani ujian saringan air kencing dan kes diserahkan kepada BSJN untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pihaknya percaya mereka mengambil dadah bagi menguatkan tenaga ketika bekerja.

“Seperti yang kita sedia maklum, pekerja asing yang bekerja di negara ini bekerja lebih masa dan mereka memerlukan tenaga yang banyak untuk bertahan sepanjang hari.

“Jadi dengan menagih dadah, mereka boleh berjaga semalaman dan ada kalanya tidak tidur sehingga tiga hari,” katanya.

Katanya, sepanjang operasi itu dijalankan pihaknya tidak menemui dadah dan peralatan yang mencurigakan – hmetro