RAWANG: Seorang kanak-kanak perempuan 10 tahun antara 114 individu yang ditahan ketika operasi khas membanteras perjudian tanpa lesen di Jalan Bandar Rawang 3, Rawang, dekat sini, awal pagi tadi.

Operasi oleh Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor membabitkan pemeriksaan di 10 premis itu bermula jam 6 petang semalam hingga 1 pagi tadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, yang turut menyertai operasi, berkata daripada 114 individu yang ditahan itu, 42 adalah penjaga premis judi dan 72 lagi pelanggan berumur antara 18 hingga 59 tahun.

Beliau berkata, dalam operasi kali ini, sebanyak 208 mesin slot, 73 simulator, 63 cip tambah nilai dan wang tunai RM16,808 dirampas.

“Harga sebuah mesin slot yang mampu mencecah kira-kira RM10,000 hinggaRM15,000 menjadikan nilai rampasan lebih RM1 juta,” katanya dalam sidang akhbar sempena operasi khas banteras perjudian haram, di sini.

“Seperti yang kita lihat, ada juga kanak-kanak umur 10 tahun yang ditahan kerana dibawa ibu bapanya yang datang bermain judi tanpa lesen.

“Perkara ini amat serius dan kami bertekad untuk membanteras kegiatan yang banyak mendatangkan masalah sosial dalam masyarakat,” katanya.

Mohamad Fuzi berkata sejak diumumkan penubuhan bilik gerakan khas judi tanpa lesen pada 20 Julai lalu, pihaknya menerima lebih 100 maklumat dari seluruh negara.

“Sebaik menerima maklumat itu, kami terus membuat serbuan bagi membanteras kegiatan judi haram di seluruh negara,” katanya.

Beliau juga mengarahkan Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Daerah di seluruh negara melaksanakan operasi membanteras perjudian.

Bagi mengelakkan premis judi yang diserbu beroperasi kembali, Mohamad Fuzi berkata pihaknya akan meneliti modus operandi perjudian yang digunakan mereka untuk mengaburi mata pihak berkuasa sebelum mengambil tindakan.

Turut hadir dalam operasi itu ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd dan Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor. – BERNAMA