KUANTAN – Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun disahkan meninggal dunia semalam akibat disengat lebih 60 ekor tebuan di Kampung Padang, di sini dalam satu kejadian kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang kelmarin, Khaleef Eusoff dikatakan sedang bermain di luar rumahnya manakala bapanya sedang berkebun sebelum kanak-kanak itu menghampiri kawasan sarang tebuan.

Bagaimanapun, kanak-kanak berkenaan diserang haiwan tersebut dan disedari bapanya setelah mendengar jeritannya yang membawanya ke hospital untuk rawatan.

Khaleef yang dimasukkan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 8 pagi semalam disebabkan kandungan toksik di dalam darah terlalu tinggi.

– K! ONLINE