BUKIT MERTAJAM: Umur mereka baru saja 13 dan 14 tahun, tapi sudah berani membawa dadah, malah salah seorang daripada mereka disahkan positif mengambil bahan terlarang itu.

Itulah yang terjadi terhadap dua remaja ini ketika diberkas bersama heroin dalam satu sekatan polis di Taman Seri Impian Alma, di sini, Khamis lalu.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, ketika polis sedang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan, pihaknya ternampak dua remaja berada dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pemeriksaan yang dibuat ke atas kedua- dua suspek kemudian menjumpai satu bekas aluminium ‘eclipse mints’ yang didalamnya mengandungi dua bungkusan plastik lutsinar dadah jenis heroin dan satu bungkusan plastik syabu.

Beliau berkata, bekas aluminium itu ditemui di dalam poket seluar salah seorang suspek yang ditahan.

Pemeriksaan ke atas poket seorang lagi suspek pula menjumpai satu bungkusan plastik lutsinar dadah jenis syabu.

Kedua-dua suspek diberkas polis dan barang kes yang dirampas dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah bagi siasatan selanjutnya.

“Ujian saringan awal air kencing juga mendapati salah seorang dari suspek positif dadah jenis amphetamine,” katanya, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 12 (3) dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 – berita harian