KOTA BHARU: Kanak-kanak lelaki yang parah dirempuh kereta api, petang semalam, kini dalam keadaan stabil di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), di sini.

Muhammad Amirul Hakimi Muhd Yuslizam, 9, mengalami pendarahan di kepala akibat kejadian itu dan sudah menjalani pembedahan untuk mengeluarkan darah beku, malam tadi.

Bapa mangsa, Muhd Yuslizam Yunus, 33, berkata anak sulungnya itu masih berada di ICU bawah pemantauan rapi doktor dengan diberikan bantuan untuk jantung dan neuro.

“Saya bersyukur doktor memberitahu keadaan anak stabil walaupun terpaksa menjalani pembedahan membuang darah beku di kepala,” katanya ketika ditemui di HUSM, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan dalam kejadian jam 5.45 petang semalam, murid Tahun Tiga itu parah selepas dilanggar kereta api di perhentian Tok Uban, Pasir Mas, ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dan dikatakan sedang melintas sambil menolak basikalnya di landasan berkenaan.

Bagaimanapun, tayar belakang basikalnya dikatakan tidak sempat melepasi landasan menyebabkan mangsa dilanggar kereta api yang kebetulan tiba di lokasi terbabit.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohamad Piah, dipetik sebagai berkata rempuhan itu menyebabkan mangsa terpelanting dan mengalami kecederaan parah.

“Mangsa melintas seorang diri selepas selesai sesi persekolahan fardu ain di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Uban,” kata Abdullah.

Dalam pada itu, Muhd Yuslizam berkata, beliau yang bekerja di Kuala Lumpur terkejut apabila dimaklumkan mengenai insiden menimpa Muhammad Amirul Hakimi dan bergegas pulang ke kampung, malam tadi.

Beliau berkata, kebiasaannya mangsa akan diambil oleh ibu, Nurul Ain Alias, 28, namun dikatakan mahu ke sekolah sendiri dengan menunggang basikal, semalam.

“Jalan kereta api itu sudah biasa dilalui penduduk kampung dan jaraknya dengan sekolah hanya 300 meter sahaja.

“Kami sekeluarga sebelum ini ada melarang Muhammad Amirul Hakimi melalui jalan itu kerana agak berbahaya, namun tidak menyangka akhirnya kemalangan ini menimpa anak saya.

“Dia mungkin melintas jalan itu seorang diri selepas pulang dari sekolah agama dan saya diberitahu bahawa tayar basikalnya tersekat pada rel kereta api menyebabkan anak tidak sempat melintas sebelum dirempuh,” katanya.

Justeru, Muhd Yuslizam berharap kejadian itu dapat dijadikan iktibar supaya masyarakat lebih peka dan berhati-hati.

“Saya hanya mampu berdoa semoga anak cepat sembuh dan kuat supaya dia boleh kembali ke sekolah. Saya rindukan suara anak yang menelefon saya yang bekerja jauh,” katanya – Berita harian