PARIT BUNTAR: Kanak-kanak perempuan yang ditemui tidak sedarkan diri ketika bermain di Taman Tema Air, Pesta Zoo Belon, Pusat Bandar di sini, Ahad lalu, meninggal dunia awal pagi tadi.

Mangsa, Nur Rabiatul Adawiyah Md Yusof, 7, disahkan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, pada jam 2.45 pagi.

Berita sedih itu disahkan bapanya, Md Yusof Che Yon, 43, ketika dihubungi, sebentar tadi.

Md Yusof berkata, jenazah anaknya itu akan disembahyangkan di Masjid Sungai Burung pada jam 2 petang ini sebelum dikebumikan di tanah perkuburan di sana.

Dalam kejadian Ahad lalu, Nur Rabiatul Adawiyah bersama keluarga dan neneknya ke pesta berkenaan untuk bermain dan mandi-manda sebelum mangsa ditemui tidak sedarkan diri – berita harian