KUALA BESUT – Kanak-kanak berusia lapan tahun, Muhammad Saiful Aiman Mohammad, yang dilaporkan hilang dua hari lepas ditemui selamat di sekitar sempadan Thailand.

Perkara itu dimaklumkan kepada Bernama oleh ibunya, Siti Ruziana Sidek, 35, ketika ditemui di rumahnya sebentar tadi.

Siti Ruziana berkata, penemuan anak ketiganya daripada empat adik beradik dimaklumkan kepadanya oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman serta beberapa kenalan.

Katanya, seorang guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Besut 2, bersama anggota polis akan membawanya ke Pengkalan Kubur iaitu kawasan sempadan antara Kelantan dan Thailand pagi ini.

“Muhammad Saiful Aiman akan dibawa balik nanti dan saya dimaklumkan beliau ditemui oleh beberapa orang kenalan dari Kuala Besut, ” katanya yang sempat melahirkan rasa syukur kerana anaknya juga berada dalam keadaan sihat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Supt Mohd Zamri Mohd Rowi ketika dihubungi mengesahkan penemuan kanak-kanak itu namun tiada maklumat lanjut setakat ini.- BERNAMA