IPOH – Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun terperangkap dalam sebuah kereta selepas kenderaan itu terkunci ketika ibunya keluar membeli pisang goreng di sebuah kedai di Taman Klebang Ria, semalam.

Kejadian sekitar jam 3.20 petang itu berlaku sebaik sahaja ibu kanak-kanak itu meninggalkan kenderaannya di tepi jalan dalam keadaan enjin hidup.

Bagaimanapun, kanak-kanak itu terselamat apabila ibunya segera menghubungi anggota bomba selepas usaha awal membuka pintu kereta jenis Wira terbabit tidak berjaya.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, R Mathavan berkata, pihaknya ambil masa kurang tiga minit untuk membuka semula pintu kereta terbabit.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, kanak-kanak itu didapati duduk di bahagian pemandu dan bermain dengan stereng kereta.

“Kita dimaklumkan, kanak-kanak itu bertindak menekan punat kunci kereta di tepi pintu menjadikan ia terkunci secara automatik dari dalam.

“Anggota kemudiannya mengumpil sedikit bahagian tepi pintu dan menggunakan tali untuk menarik semula punat kunci berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, dalam hal seperti ini, ibu bapa atau penjaga diminta untuk tidak menutup sepenuhnya bahagian tingkap bagi memudahkan kerja menyelamat sekiranya terjadi kes seumpama itu.

“Paling baik adalah tidak meninggalkan kanak-kanak dalam kenderaan berseorangan, jika nak keluar pastikan kunci berada bersama kita,” katanya.

-SinarHarian