IPOH:Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut selepas lehernya terjerut tali langsir dalam satu insiden di Jalan Meru Impian 10, Halaman Meru Impian, Meru Raya di sini pada petang Selasa.

Dalam kejadian sekitar pukul pukul 2.15 petang itu mangsa dua tahun ditemui terbaring dan tidak sedarkan diri di bahagian ruang tamu oleh ibu tirinya yang berusia 30 tahun.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata sewaktu kejadian kanak-kanak berkenaan sedang bermain di ruang tamu manakala ibunya sedang memasak di bahagian dapur rumah keluarga itu.

“Ibu tiri mangsa kemudian berasa tidak sedap hati kerana tidak mendengar sebarang bunyi atau suara dari ruang tamu rumah sebelum memeriksa keadaan anaknya.

“Sebaik memasuki ruang tamu, dia mendapati leher kanak-kanak telah terjerut dan tubuh mangsa tergantung di tali langsir ruangan masuk ke dapur.

“Wanita terbabit telah mengangkat anaknya yang ketika itu tidak sedarkan diri dan meletakkannya di atas lantai,”katanya lagi.

Menurutnya, berikutan itu ibu tiri mangsa dimaklumkan segera menghubungi bapa mangsa sebelum menghubungi kakaknya yang tinggal selang satu rumah dari rumah keluarga berkenaan.

“Mangsa telah diberikan bantuan pernafasan oleh ibu tirinya melalui panduan bantuan pernafasan CPR oleh pihak hospital sehingga ketibaan ambulans.

“Ketika itu, mangsa memberikan tanda positif apabila ibu mangsa merasai denyut an nadi dan terdapat susu keluar dari mulut mangsa,” ujarnya.

Mohd Ali berkata, mangsa sempat meminta biskut daripadanya ibu tirinya dan meneruskan bermain di kawasan ruang tamu sebelum insiden itu.

Menurut Mohd Ali dalam kejadian tersebut mangsa dan ibu tirinya berada di rumah sementara kakak mangsa bersekolah di tadika berhampiran manakala bapa mangsa yang juga seorang pensyarah berusia 33 tahun berada di Bangi, Selangor atas urusan kerja.

“Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia sekitar pukul tiga petang oleh pihak hospital,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HRPB dan hasil bedah siasat mendapati punca mangsa meninggal adalah tekanan pada leher yang konsisten akibat tergantung dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.