GOPENG – Seorang kanak-kanak lelaki maut manakala tiga lelaki mengalami kecederaan apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki terbabas dan merempuh sebatang pokok di KM 308 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat sini pagi tadi.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng mengesahkan menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.50 pagi sebelum menghantar sepasukan anggota ke lokasi.

“Sebaik tiba, pasukan mendapati empat orang mangsa tersepit di dalam sebuah Toyota Hilux selepas kenderaan itu terbabas dan melanggar sebatang pokok di bahu jalan.

“Anggota menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan keempat-empat mangsa kepada pihak ambulan, Emergency Medical Response Service dan pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” ujar beliau ketika dihubungi di sini.

Operasi tersebut telah diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Shahpri Sharuddin dan tamat sepenuhnya pada jam 10.26 pagi.

1/2