IPOH: Kanak-kanak berusia lima tahun yang menjadi mangsa gigitan anjing jirannya di Taiping pada Khamis lalu, dilaporkan dalam keadaan stabil.

Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, kanak-kanak tersebut telah dimasukkan ke wad di Hospital Taiping dan diberikan rawatan termasuk ‘debridement’ luka dan vaksin rabies.

“Pejabat Kesihatan Daerah Larut Matang & Selama akan memastikan mangsa gigitan mendapat dos lengkap vaksin rabies dengan dos keempat pada 21 Februari 2019,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Menurut beliau, anjing yang menggigit mangsa telah dilupuskan oleh pemiliknya.

“Sampel daripada karkas anjing berkenaan telah diambil oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk ujian oleh Institut Penyelidikan Veterinar,” ujarnya.

Pada pada 7 Februari 2019, Pejabat Kesihatan Daerah Larut Matang & Selama menerima maklumat mengenai satu kes gigitan anjing melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berumur 5 tahun di Taiping.

Anjing tersebut adalah anjing peliharaan jirannya yang menggigit mangsa tanpa provokasi.

Pada 14 Januari lalu, Mukim Taiping dan Mukim Bukit Gantang di Daerah Larut Matang dan Selama telah diwartakan sebagai kawasan wabak rabies atau penyakit anjing gila.