MIRI: Kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun ditemui mati dengan kesan gigitan buaya dalam kejadian di Tudan, di sini, petang tadi.

Mangsa, Mohd Fairus Mohd Dais,8, ditemui anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng, kira-kira jam 6.45 petang.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Lim Meng Seah, berkata kejadian berlaku ketika mangsa mandi bersama rakannya di kawasan sungai itu sebelum mangsa dilaporkan lemas.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati kesan gigitan haiwan di betis kanan mangsa.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Miri untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri Law Poh Kiong, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.01 petang berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng dikerahkan ke lokasi untuk operasi pencarian.

“Mayat mangsa berjaya ditemui pada jam 6.45 petang dan diserahkan kepada pihak polis,” katanya – berita harian