PARIT BUNTAR – Seorang kanak-kanak berusia empat tahun maut, manakala bapanya cedera dilanggar lari sebuah kenderaan tidak dikenal pasti sewaktu sedang menolak motosikal pancit di bahu jalan dalam kejadian di Jalan Titi Serong, di sini malam semalam.

Mangsa, Nur Farisha Iman Mohd Rabu dari Kampung Parit Haji Wahab, di sini maut sewaktu menerima rawatan kecemasan di Hospital Parit Buntar setelah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala selepas dirempuh dari belakang.

Bapanya, Mohd Rabu Mohd Rani, 45, mengalami kecederaan di betis kiri.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, dalam kejadian lingkungan jam 10 malam, bapa mangsa bersama isteri dan dua anak difahamkan sedang dalam perjalanan pulang ke rumah dari Parit Buntar dengan menaiki motosikal jenis Modenas Kriss.

Menurutnya, setibanya di pekan Titi Serong, tayar motosikal dinaiki empat beranak itu pancit sebelum bapa mangsa menurunkan ibu bersama abang mangsa ke kawasan itu.

“Bapa mangsa kemudiannya menolak motosikal itu di bahu jalan bersama mangsa yang duduk di atas motosikal untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Parit Haji Wahab.

“Sebuah kenderaan tidak dikenal pasti merempuh motosikal dari belakang sehingga menyebabkan mangsa terpelanting ke bahu jalan.

“Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Parit Buntar oleh orang awam untuk menerima rawatan kecemasan,” katanya dalam sidang media di bilik mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Kerian di sini pada Isnin.