KUALA LUMPUR : Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun 10 bulan meninggal dunia selepas ditinggalkan kira-kira dua jam di dalam kereta datuknya dalam satu kejadian di Taman Sungai, Jalan Ayer Hangat di Langkawi Isnin lepas.

Ketua Polis Kedah Datuk Zainuddin Yaacob berkata kanak-kanak itu ditemukan tidak sedarkan diri di dalam kereta yang ditinggalkan di luar pagar rumah keluarga mangsa sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Maliha, di sini.

“Sebelum kejadian mangsa telah mengikuti datuknya yang berusia 73 tahun pergi ke sebuah sekolah untuk menjemput kakak dan abangnya pulang dari sekolah dengan menaiki kereta jenis Perodua Bezza.

“Mangsa yang duduk di tempat duduk penumpang bahagian belakang bersama kakak dan abangnya dipercayai tertidur. Setelah sampai ke rumah, datuk mangsa terus masuk ke dalam rumah dan beranggapan mangsa telah keluar dari kereta tersebut,” katanya dalam kenyataan di Langkawi hari ini.

Beliau berkata lebih kurang dua jam kemudian, ibu kanak-kanak itu yang bangun dari tidur menyedari mangsa tidak bersama kakak dan abangnya di dalam rumah dan terus melakukan pencarian di rumah datuknya namun gagal menemukannya.

“Ibu dan datuk kanak-kanak itu kemudian mencari di kereta tersebut dan mendapati mangsa telah tidak sedarkan diri dalam keadaan tertiarap di bahagian tempat duduk belakang, ketika kejadian semua tingkap dan pintu kereta tersebut bertutup rapat. Mangsa yang tidak menunjukkan sebarang tindak balas telah dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya.

Zainuddin berkata laporan penuh bedah siasat belum diperoleh bagaimanapun laporan awal yang diterima menunjukkan punca kematian adalah berkemungkinan kerana strok haba.

“Polis sedang menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 31(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Zainuddin turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya lebih peka dan sentiasa mengawasi anak masing-masing bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Jika siasatan yang dijalankan mendapati wujud kecuaian tindakan pendakwaan terhadap ibu bapa atau penjaga berkenaan akan diambil,” katanya.

 

-BERNAMA