KAMPAR: Kanak-kanak berusia lapan tahun maut dalam satu kemalangan membabitkan dua lori dan sebuah kereta, di Kilometer 293.7 dekat sini Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.10 tengah malam itu, penumpang lori, Nur Fatin Liyana Zulkapli, 8, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Kedua-dua ibu bapa mangsa masing-masing berusia 43 tahun serta pemandu sebuah lagi lori berusia 34 tahun tidak cedera.

Pemandu dan penumpang kereta jenis PERODUA Myvi masing-masing berusia 28 dan 23 tahun yang turut terbabit dalam kemalangan itu juga tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon, berkata siasatan awal mendapati lori dipandu bapa mangsa dalam perjalanan dari Seremban menghala ke Pulau Pinang.

Katanya, lori terbabit cuba mengelak seekor binatang yang tidak dikenal pasti sebelum terbabas ke kiri lebuh raya dan merempuh belakang lori yang berhenti di lorong kecemasan.

“Kereta Myvi yang berada di belakang lori yang dipandu bapa mangsa gagal mengelak kemalangan itu dan merempuh bahagian belakang sebelah kanan lori berkenaan.

“Akibat rempuhan itu, kereta berkenaan melanggar pembahagi jalan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kong Soon berkata, mangsa yang cedera dihantar ke HRPB sebelum disahkan meninggal dunia.

Katanya, siasatan kejadian itu dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.