GEORGETOWN: Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas jet ski yang dinaikinya bersama penyelamat pantai bertembung dengan sebuah lagi jet ski dipandu ibunya di Pantai Batu Ferringghi, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 7.30 petang itu, mangsa, Jordan Phang Wen Jie, 9, yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor, maut akibat kecederaan serius pada tulang belakang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata mangsa dan keluarganya mendaftar masuk ke sebuah hotel terkemuka di Batu Ferringghi tengahari semalam, untuk bercuti.

“Selepas itu, keluarga mangsa menyewa dua jet ski yang terletak di belakang hotel tempat mereka menginap untuk beriadah.

“Ibu mangsa, Looi Ting Ching, memandu jet ski pertama berseorangan dan jet ski kedua dipandu seorang penyelamat pantai bersama mangsa. Kesemua mereka memakai jaket keselamatan,” katanya.

Bagaimanapun, Anuar berkata, jet ski yang dipandu penyelamat pantai itu tiba-tiba hilang kawalan akibat angin kuat sehingga menyebabkan ia meluncur laju melanggar dan bergesel dengan jet ski dipandu ibu mangsa.

Katanya, akibat perlanggaran itu mangsa terjatuh ke dalam air dan sempat diberi bantuan kecemasan resusitasi kardio-pulmonari (CPR) selepas diselamatkan.

“Bagaimanapun, pasukan paramedik yang tiba di tempat kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

“Ibu mangsa dan penyelamat pantai terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk tindakan selanjutnya,” katanya – berita harian