Oleh:Nazialita Geynna Maharan

TELUK INTAN: Cuti sekolah yang dimanfaatkan seorang kanak-kanak untuk membantu keluarga di kebun sawit berakhir dengan tragis apabila maut dalam insiden di Sungai Tiang Darat, di sini.

Dalam kejadian sekitar 2 petang Rabu itu, mangsa, Mohd Riduan Hakim Abd Rashid,12, maut apabila sabit yang digunakan untuk mengait buah kelapa sawit melantun dan mengenai dada murid SK Sungai Tiang Darat itu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar ketika dihubungi Astro Awani mengesahkan insiden menyayat hati berkenaan.

Jelasnya,pihaknya menerima maklumat sekitar jam 3.45 petang berkenaan kematian mangsa.

“Siasatan awal mendapati mangsa telah mengikuti datuknya untuk pergi mengait sawit sempena cuti sekolah sekitar jam 9.30 pagi, dan semasa atuknya mengait sawit itu tiba-tiba buah sawit telah jatuh bersama sabit melalui kayu kait.

“Ianya kemudian melantun mengenai dada mangsa di sebelah kiri dan setelah mangsa di bawa ke klinik berdekatan, mangsa disahkan meninggal dunia.

“Datuk mangsa tidak terlibat dengan kes ini kerana ianya tidak disengajakan,”tegasnya ketika dihubungi Astro Awani pada lewat malam Rabu.

Mohd Marzukhi berkata mangsa telah dihantar ke Hospital Teluk Intan bagi tujuan bedah siasat.

“Polis mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut,”katanya lagi.