IPOH : Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut setelah terjatuh ke dalam lubang kumbahan di kuarters Balai Polis Pasir Puteh di sini hari ini.

Mangsa, Mohammad Anas Hadif Ahmad Hafiz ditemukan oleh pasukan bomba dalam lubang kumbahan sedalam dua meter itu pada pukul 9 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Mohamad Fadzlei Che Husain berkata, sepasukan 11 pegawai dan anggota bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan pada pukul 8.16 pagi.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian, didapati terdapat dua lubang kumbahan dengan satu daripada lubang berkenaan mempunyai kedalaman air yang agak tinggi.

“Operasi menyelamat segera dijalankan dengan mengepam keluar air dari lubang tersebut bagi mengurangkan kedalaman sebelum seorang anggota turun ke dalam lubang itu bagi mencari mangsa.

“Mangsa berjaya dijumpai setengah jam kemudian dan dibawa keluar sebelum disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada pukul 9.36 pagi.

-UTUSAN ONLINE