GERIK : Polis kini giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang kanak-kanak lelaki Orang Asli yang dilaporkan hilang di Kampung Agek Hulu, Sungai Temenggor dekat sini, sejak Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Ismail Che Isa berkata mangsa dikenali sebagai Rawi Semari,10, dari Kampung Jarau Lama Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kemar, dilaporkan hilang pada pukul 1 pagi, 27 Nov lepas.

Menurut Che Isa bapa saudara mangsa memaklumkan pada hari kejadian kanak-kanak lelaki itu tidur dengan neneknya di dalam pondok, sebelum menyedari ketiadaan mangsa.

“Kanak-kanak lelaki itu dikatakan mempunyai tabiat sering bangun pada waktu malam dan berjalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik menerima maklumat mengenai kejadian pada pukul 4 petang hari yang sama, sebelum mengarahkan SAR dijalankan bermula pukul 8 pagi ini, kerana jarak perjalanan ke tempat kejadian mengambil masa enam jam dengan menaiki bot serta berjalan kaki.

Katanya, sepasukan enam anggota polis, tujuh anggota bomba dan empat anggota Angkatan Pertahanan Awam digerakkan untuk mencari Rawi. – BERNAMA