SUNGAI SIPUT : Seorang kanak-kanak lelaki berumur lapan tahun dari kaum Orang Asli cedera di bahagian peha kanan akibat tercucuk besi paip, setelah tergelincir dari tangki air di Pelatuk, Ulu Kuang di sini hari ini.

Mangsa yang dikenali sebagai Muhammad Sharul Iznan Nawi, 8, dikatakan sedang bermain dan memanjat tangki air tersebut sebelum berlakunya insiden itu.

Menurut kenyataan dari jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan sekitar pukul 1.36 tengahari mengenai kejadian itu.

“Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Siput ke lokasi kejadian dan mendapati terdapat seorang mangsa kanak-kanak dari kaum Orang Asli tergelincir dari tangki air.

“Peha kanak-kanak itu tercucuk salah satu besi tangki air ketika dia dipercayai bermain dan panjat tangki itu.

“Anggota bomba memberi rawatan awal dan menggunakan gergaji besi untuk memotong besi paip,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ujarnya, mangsa seterusnya dihantar ke hospital Sungai Siput dengan menaiki kenderaan EMRS BBP Sungai Siput.

Operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II, Nashafuddin Mat Don itu tamat pada pukul 3.06 petang.