KUALA TERENGGANU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun patah tulang jari manis tangan kanan dipercayai akibat dipukul ibunya dalam kejadian di Kampung Kubang Parit, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar, berkata mangsa yang cedera dibawa ibu saudaranya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan, kira-kira jam 4 petang.

“Ketika dirawat, kanak-kanak itu memaklumkan kepada doktor bahawa dia dipukul ibunya kira-kira jam 2 petang hari yang sama.

“Pemeriksaan lanjut mendapati tulang jari manis tangan kanan kanak-kanak itu terkehel dan patah sebelum doktor berkenaan membuat laporan polis,” katanya.

Susulan laporan itu, beliau berkata, ibu mangsa berusia 30-an ditahan untuk siasatan lanjut, namun dibebaskan dengan jaminan polis sebaik soal siasat selesai.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah,” katanya – berita harain