KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan dipercayai pelarian Rohingya ditemui mati di sebuah rumah di Pandan Indah, Ampang, hari ini.

Kanak-kanak berusia tujuh tahun itu yang dikenali ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira jam 11 pagi tadi sebelum pihak polis dimaklumkan mengenai perkara itu.

Sumber berkata, mangsa dipercayai adalah pelarian Rohingya, Myanmar dan menetap di negara ini sejak kecil.

Menurutnya, sepasukan polis yang menuju ke lokasi kejadian bertindak menahan seorang wanita dipercayai ibu saudara kepada mangsa bagi membantu siasatan.

“Suspek yang memiliki kad pelarian UNHCR mendakwa mangsa adalah anak adik kandungnya bernama Muslimah.

“Bagaimanapun Muslimah didakwa berada dalam tahanan di Penjara Kajang ketika ini,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Hamzah Alias ketika dihubungi, di sini, hari ini, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) berdasarkan siasatan awal dilakukan mendapati tiada indikasi mangsa didera memandangkan kanak-kanak itu dalam keadaan sakit sebelum ini,” katanya – berita harian