TAIPING: Seorang kanak-kanak berusia setahun ditemui lemas di dalam kolam ikan di Klinik Kesihatan Taiping malam Khamis.

Dalam insiden itu, pihak bomba menerima panggilan sekitar jam 9.50 malam dan bergegas ke tempat kejadian.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Pegawai Bomba Kanan II Aninor Shariman Harun berkata pihaknya menerima makluman awal berkenaan kejadian lemas itu daripada orang awam.

“Makluman awal yang kami dapat daripada pemanggil berkaitan seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun telah lemas di dalam kolam ikan berkenaan.
“Mangsa telah cuba diselamatkan oleh bapanya sendiri namun disahkan mati di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,”ujarnya.

Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya.

“Pasukan BBP Taiping yang tiba di tempat kejadian hanya melaksanakan pemantuan dan memastikan tiada unsur bahaya di tempat kejadian. Operasi tamat sepenuhnya sekitar jam 10.27 malam,”katanya lagi.