IPOH: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun cedera akibat dirotan oleh seorang guru di sebuah taska di Taman Lindungan Bercham Indah, di sini pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, kesan luka di tangan itu disedari oleh ibu mangsa ketika mengambil anaknya dari taska tersebut sekitar jam 6 petang.

Katanya, ibu mangsa kemudian diberitahu oleh salah seorang guru bahawa tangan mangsa terluka akibat garu dan telah diletakkan krim.

“Pengadu tidak puas hati telah jumpa dengan ketua taska, kemudian bawa balik dan kesokannya pergi ke Klinik Kampung Simee serta diberitahu oleh doktor bahawa tangan anaknya terdapat kesan lecur.

“Kelmarin, pengadu sekali lagi membawa anaknya ke sebuah poliklinik di Taman Ipoh Permai bersama guru taska. Doktor memberitahu luka kanak-kanak itu telah dijangkiti kuman,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan pada Ahad.

Selepas pemeriksaan kedua itu, ibu mangsa telah membuat laporan polis pada jam 10 pagi semalam di Balai Polis Bercham.

“Pemilik taska dan penyelianya telah memberikan keterangan dan hasil pertemuan antara pengadu, mangsa serta pihak pengurusan, suspek mengaku merotan tangan kanan kanak-kanak itu sehingga bengkak.

“Suspek mengaku bersalah merotan anak pengadu dan telah meminta maaf kepada pengadu tetapi pengadu tetap mahu tindakan diambil ke atas suspek,” tambah Mohd Ali.

Katanya lagi, pemilik taska memaklumkan suspek berusia 32 tahun terbabit telah diberhentikan kerja kerana bimbang kejadian yang sama berulang.

Polis masih mengkaji kesesuaian untuk menyiasat suspek di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan atau Akta Kanak-Kanak (Pindaan) 2016.