KUALA PILAH: Seorang kanak-kanak trauma menyaksikan jirannya maut di depan mata selepas mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 2 Jalan Kuala Pilah-Tampin, berhampiran Kampung Bukit Temensu, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.20 malam itu, kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun berkenaan luka pada bibir dan tangan, namun B Narendran, 24, meninggal dunia akibat parah apabila motosikal ditunggangi mereka terbabas dan merempuh tiang kabel telefon.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok, berkata siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang motosikal dari arah Gentam ke Senaling di sini, gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar tiang itu.

“Akibat rempuhan itu, tiang berkenaan patah manakala mangsa parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di sini, untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 – berita harian