IPOH: Kantin yang dikatakan menyebabkan 17 murid Sekolah Kebangsaan Manjoi 2, Ipoh mengalami keracunan pada Khamis diarah tutup sementara sama sehingg Isnin.

Bagaimanapun, punca sebenar keracunan masih dalam siasatan Pejabat Kesihatan Daerah Kinta, walaupun terdapat dakwaan ia daripada nasi goreng yang dimakan ketika waktu rehat.

Exco Pendidikan, Teknologi, Sains, Alam Sekitar Dan Penerangan negeri Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, berdasarkan siasatan awal, kejadian itu tidak begitu serius kerana tiada murid yang dimasukkan ke hospital.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri melalui agensi-agensi berkaitan akan terus memantau dan mengambil tindakan agar kejadian seumpama itu tidak berulang.

“Saya boleh katakan apa yang berlaku ini mungkin satu perkara yang jarang.

“Walaupun saya mengakui bahawa dalam tempuh setahun ini memang ada kes-kes yang seperti ini berlaku di negeri Perak, kita memandang berat perkara ini kerana ia memberi imej yang kurang baik kepada negeri khususnya, jadi memang kita pantau.

“Walaupun kes-kes ataupun insiden-insiden itu mungkin tidak berkaitan dan mempunyai sebab-sebab yang berbeza tetapi bagi masyarakat, mereka melihat perkara ini berlaku sama ada di sekolah, di kolej dan sebagainya,” katanya ketika melawat sekolah itu pada Jumaat.

Dalam kejadian pada Khamis, 17 murid tahun 4,5 dan 6 dilaporkan mengalami sakit perut, muntah dan cirit birit selepas makan nasi goreng di kantin ketika waktu rehat kira-kira jam 10 pagi.

Kantin tersebut dikongsi kegunaan murid-murid Sekolah Kebangsaan Manjoi 1 dan Sekolah Kebangsaan Manjoi 2.

Ekoran penutupan kantin, pengusaha hanya dibenarkan menjual roti dan air mineral di samping sebilangan murid membawa makanan yang dibekalkan keluarga masing-masing.

Dalam pada itu, Ketua Unit Hal Ehwal Murid, Pejabat Pendidikan Daerah Kinta Utara, Zaherien Rahmat berkata, tindakan terhadap pengusaha kantin hanya akan diambil selepas laporan keputusan pemeriksaan Jabatan Kesihatan diterima.

Menurutnya, berdasarkan rekod, pengusaha berkenaan dikatakan mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dan kes tersebut adalah yang pertama melibatkannya.