MIRI: Seorang lelaki ditahan ketika bersembunyi di atas siling rumah yang diceroboh di Jalan Konnifiier di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu ditahan sekumpulan ahli Jawatankuasa Penduduk (JKP) Permyjaya sebelum dia diserahkan kepada pihak polis.

Jurucakap JKP Miri, Malateh Mahmud, berkata sebelum kejadian, pihaknya menerima aduan awam yang ternampak lelaki terbabit memanjat pagar rumah berkenaan.

Katanya, lelaki terbabit kemudian menceroboh ke dalam rumah tidak berpenghuni itu.

“Ahli JKP kemudian bergegas ke lokasi untuk pemantauan dan mendapati lelaki terbabit masih berada di dalam rumah berkenaan sebelum dikesan bersembunyi di atas siling rumah,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya kemudian terus menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Tiada sebarang harta benda yang sempat dilarikan. Lelaki terbabit dipercayai kurang siuman,” katanya sambil menambah lelaki itu kemudian dibawa polis ke Balai Polis Pusat Miri – berita harian