TUMPAT – Cubaan dua lelaki membawa masuk rokok seludup yang dipunggah dengan bot pepeh gagal apabila dicekup Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, semalam.

Lelaki tempatan berusia 30 dan 35 tahun ditahan di perairan laut Geting pada jam 1.40 pagi bersama bot pepeh yang sarat muatan 7,500 karton rokok jenama NYX.

Pegawai Pemerintah PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Ahmad Amri Abd Rahman berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Unit Rondaan Marin (URM) dan Bot Ronda menyerbu bot pepeh yang mencurigakan di perairan tersebut.

“Ketika serbuan, dua lelaki itu baru sahaja membuka penutup kotak rokok untuk dipunggah ke kawasan darat.

“Mereka tidak sempat melarikan diri dan ditahan anggota PPM,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemui 7,500 karton rokok jenama NYX Filter dan NYX Menthol dianggarkan berjumlah lebih RM1 juta.

“Pemeriksaan ke atas bot pepeh itu menjumpai 7,500 karton rokok. Daripada jumlah itu, 4,200 karton adalah rokok NYX Filter manakala selebihnya adalah NYX Menthol,” katanya.

Menurutnya, nilai rampasan keseluruhan rokok seludup bersama bot pepeh adalah berjumlah RM1,088,700 dan kesemua barang rampasan serta dua lelaki itu dibawa ke markas operasi untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, rokok-rokok tersebut dipercayai dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran tempatan, namun cubaan penyeludup itu menyeberangi perairan ini berjaya dipatahkan oleh PPM.

“Kes ini disiasat bawah Akta Kastam 1967,” katanya.

-SinarHarian