BUKIT MERTAJAM – Cubaan seorang lelaki untuk memecah masuk sebuah rumah di Taman Setia, Bukit Tengah di sini gagal apabila perbuatannya berjaya dirakam CCTV di kawasan perumahan berkenaan awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.42 pagi itu, suspek yang berusia 27 tahun dilihat sedang memanjat pagar sebuah rumah sebelum pengawal keselamatan menghubungi pemilik rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, beberapa penduduk kemudiannya keluar memburu lelaki berkenaan sebelum melihat dia dalam keadaan mencurigakan di dalam kawasan taman perumahan.

“Mereka bertindak menahan suspek dan menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

“Ketika menunggu polis datang ke lokasi kejadian, suspek cuba meloloskan diri namun usahanya gagal apabila dia berjaya ditangkap semula,” katanya ketika dihubungi di sini, siang tadi.

Nik Ros Azhan berkata, suspek yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah untuk siasatan lanjut.

Katanya, hasil soal siasat mendapati selain kejadian ini, suspek juga mengaku terlibat dengan kes pecah rumah di kawasan Taman Villa Oren yang dilaporkan sebelum ini.

“Semakan dibuat mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau dan kini direman selama tiga hari,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah – sinar