Ipoh: Polis menahan 21 individu termasuk empat wanita yang leka bermain judi pasar malam di kebun kelapa sawit di Tambun di sini, kelmarin.

Dalam operasi 1.50 tengah hari itu, polis yang menerima maklumat orang awam menyerbu lokasi perjudian itu yang beroperasi di dalam kebun kelapa sawit kira-kira tiga kilometer dari jalan utama.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisoner Sum Chang Keong berkata, polis yang menyerbu lokasi berkenaan mendapati 21 individu sedang leka bermain judi dikenali sebagai judi pasar malam.

Menurutnya, kesemua mereka berusia 40 hingga 70-an itu ditahan dan polis merampas semua peralatan judi berkenaan termasuk wang tunai berjumlah RM22,892.

“Seorang daripada individu yang ditahan itu adalah wanita warga China berusia 40-an dan dipercayai masuk ke negara ini sehari sebelum itu untuk melancong sebelum mengikut rakannya ke lokasi itu untuk berjudi.

“Polis turut merampas peralatan perjudian antaranya dadu, kapur putih, walkie talkie dan telefon bimbit,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, hari ini.

Chang Keong berkata, mereka direman sehari untuk siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis manakala kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.