MELAKA: Tindakan berani seorang warga Indonesia cuba menukar kad pengenalan palsu miliknya kepada kad pengenalan berprestasi tinggi (MyKad) di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), di sini, kelmarin, memakan diri apabila ditahan atas kesalahan memiliki kad pengenalan palsu.

Lelaki berusia 64 tahun itu memiliki kad pengenalan terbabit sejak hampir 30 tahun lalu, sebelum dia ditahan di pejabat jabatan berkenaan.

Difahamkan, suspek berasal dari Bengkalis, Indonesia memasuki negara ini sejak 1981.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan JPN negeri, Mohd Nasrom Yusof, berkata siasatan awal mendapati suspek membeli kad pengenalan palsu itu di Jasin daripada rakannya pada 1990.

“Kad pengenalan berkenaan dibeli pada harga RM500 pada 1990 dan juga digunakan oleh suspek untuk bernikah dengan wanita tempatan pada 2005.

“Siasatan turut mendapati, suspek tidak pernah menggunakan kad pengenalan palsu itu untuk kegunaan lain, selain bernikah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Nasrom berkata, sebelum ditahan, suspek ditemani isterinya, warga tempatan berusia 58 tahun ke kaunter membuat dan menukar kad pengenalan.

“Bagaimanapun, bahagian itu menyemak dan gagal menemui rekod pengenalan diri suspek lalu merujuk ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan, sebelum ditahan.

“Hasil soal siasat suspek mengaku warga Indonesia dan menggunakan kad pengenalan palsu, namun semua butiran diri dalam kad pengenalan itu menggunakan nama asalnya,” katanya.

Beliau berkata, suspek direman empat hari bermula semalam dan perintah reman dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Majistret, Teoh shu Yee.

Dalam pada itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Rahimin Bani berkata, pihaknya akan merujuk kepada JPN untuk menjalankan siasatan.

“Walaupun kes itu (pernikahan) berlaku kira-kira 13 tahun lalu apabila suspek bernikah dengan warga tempatan pada 2005, kita memandang berat penggunaan dokumen palsu,” katanya – berita harian