BAGAN DATUK: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ‘kantung’ kerajaan mencukupi bagi melaksanakan aku janji dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, malam tadi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan BN bukan seperti pihak lain yang membuat pelbagai janji tetapi sukar untuk melaksanakannya.

“Kita lihat jika kalau janji pihak lain (pembangkang) untuk mengambil (alih tol) semua lebuh raya bertol, ia membabitkan lebih RM300 bilion dan mereka tak menyebutkan wang itu datang dari mana.

“Apabila program untuk melaksanakan aku janji (Manifesto BN) ini, kerajaan dah ambil kira berapakah pendapatan kepada kantung negara kita, khususnya pada Khazanah Nasional (Bhd).

“Kita dapati berdasarkan pembentangan bajet yang terdahulu, andaian dibuat kerajaan harga petrol adalah (berdasarkan) AS$59 setong, sekarang harga mencecah lebih sedikit daripada AS$69 setong. …ertinya pendapatan negara akan bertambah maka pendapatan inilah yang digunakan untuk melaksanakan program yang dirancangkan.

“Selain itu apabila sistem percukaian jualan SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) kepada GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan), wang itu dikembalikan kepada rakyat, dan ini memperlihatkan bahawa kerajaan tidak bankrap kerana rizab negara sebagai yang diumumkan Bank Negara berada pada tahap tertinggi, lebih AS$108 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan Tinjauan Mesra sempena Program Jualan Sentuhan Rakyat di perkarangan Wisma UMNO Bahagian Bagan Datuk di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata, tidak mungkin rizab negara meningkat jika negara bankrap dan aku janji Manifesto BN tidak mampu dilaksanakan jika pengurusan kewangan negara tidak cekap.

Sebaliknya, Ahmad Zahid berkata, kerajaan BN membuktikan kecekapan mengurus kewangan negara dan seluruh sistem penyampaian kerajaan membolehkan apa yang dirancang bersifat ‘doable’ atau boleh dilaksanakan seperti kejayaan melaksanakan 99.4 peratus aku janji Manifesto BN PRU-13.

“Ia (aku janji) dilaksanakan dengan bersandarkan kepada realiti dan bukan ambil daripada langit disogokkan kepada rakyat dan akhirnya selepas 17 hari mengakui bahawa tidak semua janji itu dapat dilaksanakan oleh orang yang telah menabur janji berkenaan.

“Kita harap dengan aku janji telah dibentangkan di mana lebih 300 inisiatif telah ditawarkan, ini masanya untuk rakyat terus berikan dukungan (kepada BN) kerana sebelum ini terbukti dukungan berikan kesinambungan pemerintahan di negara kita. Saya tak mahu sebut janji-janji pihak lain tetapi rakyat perlu menilai sebaiknya aku janji ini,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, manifesto BN kali ini juga memperlihatkan aku janji, transformasi dan perancangan komprehensif lima tahun BN membabitkan keterangkuman semua lapisan masyarakat dan kumpulan tertentu, termasuk golongan muda dan wanita di segenap pelusuk negara jika BN mendapat mandat semula mentadbir negara.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, sektor keselamatan turut diberi perhatian sekali gus membuktikan kepedulian kerajaan kepada golongan polis dan tentera.

Katanya, begitu juga kepentingan negeri-negeri terutama Sabah dan Sarawak membabitkan usaha memenuhi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang diberi keutamaan Perdana Menteri, bukan seperti seorang pemimpin negara yang lama mentadbir negara tetapi tidak mengambil langsung perkiraan untuk memenuhi perjanjian itu.

“Kita harap rakyat di Sabah dan Sarawak tidak lagi memainkan isu ‘Sabah for Sabahan’ (Sabah untuk orang Sabah) dan ‘Sarawak for Sarawakian’ …ia adalah sesuatu yang harus diterima,” katanya – berita harian