KUALA LUMPUR: Suara dan kehendak orang muda akan terus didengar Barisan Nasional (BN) melalui pemerkasaan idea Generasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan urus tadbir peringkat tempatan misalnya, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jawatankuasa Rukun Tetangga.

Manifesto Pemuda BN menekankan Kanvas Belia TN50 menjadi perintis kepentingan suara orang muda dalam membentuk hala tuju negara sekali gus memberi jaminan orang muda berperanan lebih besar dalam merealisasikan aspirasi mereka.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Sepuluh aspirasi Kanvas Belia TN50 adalah budaya sukan, keselamatan makanan, pemeliharaan alam sekitar, kerajaan pintar, perpaduan negara, keselamatan tenaga, pendidikan alaf ke-21, seni budaya, sistem kebajikan moden dan politik dan urus tadbir.

Orang muda dapat menyampaikan idea secara terus ke peringkat tertinggi kerajaan melalui Belia@Kabinet, manakala penjawat awam muda diperkasa dengan pelbagai skim supaya mereka bersedia untuk memegang tampuk kepimpinan negara.

Pemuda BN memberi jaminan idea terbaik dalam mencapai aspirasi belia TN50 akan dibantu dengan dana dan latihan agar ia dapat dilaksanakan.

Pemuda BN juga percaya orang muda mahu peranan lebih besar dalam menentukan hala tuju negara, seterusnya, Generasi TN50 akan diberikan platform seluasnya dalam mencorak dan membawa Malaysia ke tahun 2050.

Lima jaminan untuk orang muda adalah memastikan orang muda terus dibabitkan dalam urus tadbir negara melalui Belia@Kabinet iaitu pembentangan bulanan idea terbaik belia (diundi melalui aplikasi MyCadang) kepada Mesyuarat Jemaah.

Sementara itu, sebanyak 35 peratus belia dalam kalangan penjawat awam muda diperkasakan dalam kepimpinan Jawatankuasa Rukun Tetangga.

Satu sidang Belia PBT yang dipengerusikan Yang Dipertua PBT akan ditubuhkan untuk membahaskan usul berkepentingan belia di agensi itu selain mengadakan skim rentas kerjaya bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta Badan Berkanun.

BN memberi jaminan untuk memperkasakan persatuan belia dengan menyediakan saluran anak muda dengan kerajaan terutamanya melalui pensijilan program kepimpinan, kesukarelawanan dan khidmat komuniti – berita harian