KEJADIAN Seabed Constructor iaitu kapal pencari pesawat MH370 yang ‘hilang’ dari radar selama 80 jam menimbulkan pelbagai spekulasi.

Sistem Identifikasi Automatik (AIS) kapal berkenaan dilaporkan tidak berfungsi pada 31 Januari lalu, dipercayai menutup sistem penjejaknya.

Menurut laporan Daily Mail, sistem AIS kapal itu diaktifkan semula 80 jam kemudian, namun sebab kenapa sistem itu dimatikan, masih belum dapat dipastikan dan lokasinya sepanjang tempoh hilang itu tidak diketahui.

The Sun UK melaporkan, kejadian itu berlaku 10 hari selepas Seabed Constructor memulakan usaha mencari pesawat Malaysia yang hilang ketika dalam penerbangan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014.

Kapal pencarian Seabed Constructor milik Ocean Infinity dari Texas, Amerika Syarikat, diupah kerajaan Malaysia menerusi perjanjian ‘tiada bayaran tanpa sebarang penemuan’ pesawat MH370. Namun, jika berjaya menemui MH370 dalam masa 90 hari, syarikat itu akan menerima bayaran 39.5 juta pound (RM216 juta).

Kapal itu berlayar dari pelabuhan Durban, Afrika Selatan, pada 2 Januari 2018 dan tiba di lokasi pencarian pada 21 Januari lalu. Kru kapal itu menggunakan peralatan pengimbas sonar dalam usaha mengesan pesawat MH370 yang hilang selepas sistem komunikasi ditutup sejam selepas berlepas. Pesawat itu yang membawa 239 orang masih belum ditemui sehingga hari ini.

Dalam kenyataan, syarikat itu memaklumkan kapal pencarian terbabit memanfaatkan keadaan cuaca baik untuk bergerak ke arah zon pencarian.-metro