GEORGETOWN: Sebuah kapal muatan ikan sepanjang 43.6 meter terbalik di perairan Permatang Damar Laur di sini selepas dipercayai berlanggar dengan bangkai kapal simen yang karam dan dijadikan tukun di situ.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, Kapten kapal Xin Yi Yi, Shek Shing Hei, berkata, dia sedang mengemudi kapal menangkap ikan berkenaan sebelum melanggar bangkai kapal itu.

Katanya, kawasan bangkai kapal karam itu sudah ditandakan dengan ‘boya’ namun lampu kelip di pelampung berkenaan rosak dan tidak berkelip ketika kejadian.

Shek berkata, ketika itu keadaan amat gelap, berkabus dan bergelombang menyebabkan dia tidak menyedari kawasan itu ditanda sebelum melanggar bangkai kapal simen di situ.

“Kerugian dianggarkan RM3.5 juta dan antara barang yang tenggelam termasuk alat navigasi, ikan hidup dan barang-barang lain.

“Saya dan empat lagi anak kapal selamat selepas berjaya menyelamatkan diri,” katanya.

Shek dan empat lagi anak kapal berasal dari China.

Mereka dikenali sebagai Chen Jian Hua, Cai Rong Kun, Jiang Li Xing dan Chen Shi Xin.

Sementara itu, kejadian itu juga tular di media sosial dengan ada yang mengatakan bahawa ia menyebabkan berlaku tumpahan minyak di kawasan itu.

Jurucakap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Komander (M) Hamizan Harun berkata, semua lima mangsa berjaya menyelamatkan diri.

Katanya, pihaknya masih dalam usaha mendapatkan laporan penuh kejadian dan akan mengeluarkan kenyataan penuh mengenainya.

Seorang netizen, Firdaus Daus, berkata air di kawasan berkenaan cetek dan kapal itu bernasib baik kerana hanya terbalik dan tidak tenggelam.

Seorang lagi netizen, Azlan Sulaiman, juga berkata air di kawasan itu cetek dan tidak sesuai dilalui kapal bersaiz besar – berita harian