BATU PAHAT: Seorang kru ditemui lemas manakala 14 lagi masih hilang selepas sebuah kapal korek pasir terbalik di perairan Parit Jawa, Muar, pagi tadi.

Tiga lagi kru berjaya diselamatkan pihak berkuasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.50 pagi tadi Pusat Operasi Pangkalan Maritim Malaysia Pangkalan Batu Pahat menerima panggilan kecemasan memaklumkan kapal berkenaan terbalik dengan 18 kru dipercayai terperangkap di dalam kapal itu.

Pengarah Maritim, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pangkalan Batu Pahat Leftenan Komander Maritim Muhammad Zulkarnain Abdullah, berkata dua bot ronda Maritim Malaysia dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.

“Setakat ini, tiga kru ditemui selamat dan seorang meninggal dunia akibat lemas.

“Seramai 14 lagi kru masih hilang dipercayai terperangkap di dalam kapal yang terbalik itu.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sudah dimulakan dengan Maritim Malaysia membuka pusat kecemasan di Pantai Leka, Parit Jawa, Muar bagi menyelaras operasi,” katanya ketika dihubungi NSTP -berita harian