KUALA LUMPUR : Kapal layar mewah dikaitkan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dilaporkan bakal dijual semula, menurut senarai yang dikeluarkan oleh broker kapal layar berkenaan, Camper & Nicholsons.

Kapal layar Equanimity yang kini dikenali sebagai Tranquility ketika ini dimiliki pengendali pusat peranginan, Genting Malaysia Bhd (Genting) selepas membelinya dari kerajaan Malaysia pada April lalu pada harga AS$126 juta (RM527.09 juta).

Menurut pasukan penyiasat Amerika Syarikat dan Malaysia, kapal layar itu adalah antara aset yang didakwa dibeli oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dan sekutunya menggunakan wang milik 1MDB.

Bagaimanapun, ia tidak mendedahkan harga ditawarkan kepada pembeli yang berminat memiliki kapal layar terbabit.

Malah, Camper & Nicholsons dan Genting enggan memberi sebarang maklum balas berhubung perkara berkenaan.

Tidak diketahui sejak bila ia disenaraikan untuk dijual, namun semalam, media melaporkan Genting menawarkan harga AS$200 juta (RM836.65 juta) kepada pihak berminat untuk membeli kapal layar itu.

Sebelum ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidan berkata, kapal mewah itu masih boleh dijadikan bahan bukti dalam perbicaraan membabitkan penyelewengan dana 1MDB jika perlu, walaupun ia sudah dijual.

Katanya, mahkamah boleh mengeluarkan sepina untuk menjadikan kapal mewah itu sebagai bahan bukti. – Agensi