KUALA LUMPUR: Kapal tangki MT Pratama 128 yang dilaporkan hilang ketika dalam tahanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kelmarin ditemui di Perairan Pulau Rupat, Dumai oleh Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut (TNI-AL) tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar, berkata siasatan awal mendapati kapal berkenaan dilarikan krunya sendiri.

BERITA TERDAHULU : Kapal tangki MT Pratama 128 Hilang РAPMM

“Kerjasama dengan pasukan TNI-AL berjaya menemui semula kapal berkenaan dan kini Maritim Malaysia dalam proses rundingan untuk membawa pulang kapal terbabit.

“Setakat ini siasatan mendapati tiada unsur rompakan dan pelanunan dalam insiden ini,” katanya.

Zulkifli berkata, kapal terbabit diletakkan di batas pelabuhan berhampiran perairan Tanjung Piai.

“Kapal itu diawasi dengan radar dan rondaan dari pengawal, namun kami percaya kru terbabit mengambil kesempatan ketika pengawal rondaan pulang ke jeti.

“APMM akan terus bekerjasama dengan TNI-AL untuk menyiasat tujuan kapal itu dilarikan,” katanya.

Kapal tangki MT Pratama 128 yang dalam tahanan Maritim Malaysia dilaporkan hilang kelmarin.

Kapal terbabit ditahan oleh Maritim Malaysia kesalahan mengikut Ordinan Kapal Dagang (MSO) 1952.

Difahamkan, kapal berkenaan ditahan kerana bersauh tanpa kebenaran dan gagal mengemukakan dokumen yang sah.

Sebelum ini, kapal yang sama pernah ditahan pihak berkuasa Indonesia kerana membawa minyak mentah secara haram 12 Januari lalu.

Kapal tangki MT Pratama 128 mula didaftarkan pada tahun 1977 dan sudah dua kali didaftarkan semula – berita harian