GERIK: Kebanyakan kita mungkin tidak pernah mendengar atau melihat kapit tebu apatah lagi mendengar alunan muzik daripada alat yang digunakan untuk mengeluarkan air tebu itu.

Diperbuat daripada kayu halban dan kayu cong, kapit tebu yang sinonim dengan daerah ini dan digunakan sejak kira-kira seabad lalu memerlukan tenaga dua hingga tiga orang untuk menggerakkannya bagi memerah jus tebu.

Alat itu antara tarikan Program Jom Kapit Tebu: Kenduri Semukim di Kampung Jong di sini selama tiga hari sejak Khamis lalu yang turut mengetengahkan pelbagai masakan tradisional yang resipinya diwarisi sejak beratus tahun lalu, antaranya ubi kayu masak ala sotong dan ayam golek Kampung Padang Stang.

Ketua tukang masak ayam golek Kampung Padang Stang, Mat Yusof Salleh, 60, berkata makanan tradisional yang berasal dari Pattani, Thailand itu tidak banyak berbeza dengan rendang ayam namun juadah itu mempunyai keunikannya yang tersendiri.

“Apa yang membezakan ayam golek ini dengan rendang ayam ialah kita memasaknya di dalam kawah besar dan ayam dimasak beralaskan buluh agar tidak hangit kerana ia mengambil masa selama dua jam setengah untuk memasaknya,” katanya kepada Bernama di sini.

Mat Yusof yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam menyediakan juadah itu berkata ramuan pula termasuk serai, lengkuas, kerisik, santan, bawang, kunyit serta cili padi.

“Kita sering memasak ayam golek secara bergotong-royong terutamanya bagi sambutan Maulidur Rasul dan hari-hari kebesaran yang lain,” katanya.

Mohd Bakri Mat Rasul, 65, yang mahir memasak ubi kayu ala sotong pula berkata dia mewarisi resipi turun temurun itu daripada orang tuanya.

“Ubi kayu ini perlu direbus dengan air tebu sahaja menggunakan kayu api dan proses memasak mengambil masa selama lima jam baru ubi kayu itu menjadi hitam dan boleh dimakan.

“Ini merupakan makanan tradisi dari Kampung Jong dan kami selalu memasaknya ketika kenduri kahwin atau majlis keraian,” katanya.

Pengerusi program Shamsuri Dolah Ahmad berkata program anjuran Pusat Khidmat Anggota Parlimen Gerik Datuk Hasbullah Osman itu mendapat sambutan amat menggalakkan bukan sahaja dalam kalangan penduduk tempatan tetapi juga pengunjung dari luar daerah.

 

Katanya lebih 50 penduduk setempat bergotong-royong sejak petang semalam untuk memasak beberapa makanan tradisional seperti daging kari batang pisang, daging masak hitam, umbut bayas, siput gondang masak rendang pedas dan kerabu sardin.

“Makanan tradisional ini juga turut memperlihatkan identiti masyarakat di sekitar daerah Gerik kerana setiap daerah di negeri ini mempunyai makanan tradisional setempat masing-masing,” katanya. Sementara itu, Hasbullah ketika berucap merasmikan program berkata acara tersebut bakal dijadikan acara tahunan kerana menerusinya orang ramai dapat meneroka kepelbagaian juadah tradisional masyarakat setempat di sini selain menghimpunkan keluarga besar masyarakat Mukim Kerunai.

“Saya amat kagum dan terharu dengan kesungguhan semua pihak yang terlibat dengan program ini kerana kita dapat melihat bagaimana semangat mereka menyiapkan makanan tradisional untuk dihidangkan kepada pengunjung,” katanya.

— BERNAMA