PARIT: Golongan belia dari seluruh negeri Perak kini berpeluang untuk meninjau dan memilih lebih daripada 1,200 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor terutama kemahiran dan perindustrian di Karnival Gerbang Kerjaya Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Seri Iskandar di sini.

Karnival mega anjuran IKBN yang berlangsung selama sehari dengan kerjasama Pusat Kerjaya Amanjaya (PeKA) itu turut disertai oleh 11 majikan swasta dan enam agensi kerajaan.

Beliau yang juga ADUN Bukit Chandan berkata, karnival itu adalah hasil usaha pihak kerajaan yang berterusan untuk membantu memudahkan pencari kerja mendapatkan pekerjaan.

 “Karnival sebegini juga membuktikan negara tidak terlalu bergantung kepada tenaga kerja asing yang menyebabkan nilai wang negara mengalir keluar,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan karnival itu pada Khamis.

 Turut hadir, ADUN Bota, Datuk Nasarudin Hashim: Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Shamsudin Jamil; Ketua Pegawai Eksekutif PeKA, Ameron Zulqarnaen Yeop Rashidi dan Pengarah IKBN Seri Iskandar Fisal Ramli.

 Sempena karnival itu, Maslin Sham turut menyaksikan upacara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara IKBN yang diwakili Fisal dengan lapan wakil syarikat yang terlibat dalam menjayakan karnival berkenaan.

 Sementara itu, Ameron Zulqarnaen berkata, fokus karnival kerjaya di IKBN Seri Iskandar menjurus kepada latihan serta peluang pekerjaan dalam bidang kemahiran teknikal.

 Menurut beliau, dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, lebih 10,000 individu atau hampir 20 peratus daripada 60,000 pencari kerja setakat ini telahpun diterima bekerja dengan syarikat-syarikat yang dibawa oleh PeKA.

Katanya, pencari  kerja yang tidak berkesempatan hadir boleh mendapatkan maklumat lebih lanjut menerusi laman sosial Facebook ‘JobsPerak-PeKA’ atau melayari portal www.peka.my.

Antara syarikat yang hadir menawarkan pekerjaan ialah Syarikat Carsem (M) Sdn Bhd, Salutica Allied Solution Sdn Bhd dan Proton Tanjung Malim Sdn Bhd.