IPOH: Karnival Jom Niaga akan diadakan di Bulatan Amanjaya, Meru pada hujung minggu (6 & 7 Mei) ini sempena Minggu PKS Peringkat Negeri Perak, yang mensasarkan 10,000 pengunjung.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahawan, Koperasi, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, seramai 50 peniaga akan mengambil bahagian di dalam karnival itu.

Menurutnya, karnival itu dianjurkan bersama SME Corp, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Unit Perancang Ekonomi Negeri Perak, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak dan Invest Perak.

Beliau memberitahu, Minggu PKS merupakan inisiatif tahunan yang telah dimulakan sejak 2012 dan untuk peringkat negeri Perak, ia akan diadakan daripada 6 – 23 Mei dengan penganjuran sebanyak 120 program dan aktiviti.

“Diharap masyarakat umum, terutamanya usahawan mengambil peluang untuk turut sama terlibat di dalam Minggu PKS ini,” katanya dalam sidang media di pejabat SME Corp Perak di sini pada Selasa.

Hadir sama Timbalan Ketua Eksekutif II SME Corp, Mohd Rithaudden Makip dan Pengarah SME Corp Perak, Mohamad Rozlan Mohamad Razalli.

Menurut Samsudin, antara 2,000 hingga 3,000 usahawan di negeri ini dijangka terlibat dengan pelbagai program yang telah diatur seperti pameran, seminar, taklimat, kuiz, senamrobik, eksplores, sesi padanan perniagaan (business matching) dan pelbagai pertandingan.

“Antara yang paling menarik ialah program latihan dan pendidikan untuk usahawan kecil dan sederhana dengan Google bagi membantu mereka memasarkan produk melalui media baru,” ujarnya.