IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bersama negeri Perak akan menganjurkan Karnival Jualan Mega (KJM) 2017 bermula pada 22 hingga 26 Nov ini di Bulatan Amanjaya, Ipoh di Perak.

Memetik laporan Bernama, Sekretariat KJM 2017 berkata, karnival ini dianjurkan bagi memberi peluang kepada pengguna berbelanja pada harga berpatutan, merancakkan lagi kegiatan ekonomi dan perniagaan domestic.

Selain itu, ia juga bertujuan memberi peluang kepada masyarakat untuk mengenali peranan KPDNKK dan agensi seliaannya.

KJM yang juga ‘signature event’ KPDNK telah dilaksanakan buat pertama kalinya di Johor Bahru pada tahun lepas dan mencatat jumlah jualan hampir RM11 juta.

Pemilihan Perak sebagai lokasi pada kali ini adalah bersempena sambutan Tahun Melawat Perak 2017 serta memandangkan kedudukannya yang strategik membolehkan pempamer utama di sekitar Lembah Klang, Selangor dan Pulau Pinang untuk turut serta.

Antara pengisian program karnival itu adalah karnival jualan bersepadu, karnival trak makanan, karnival pameran auto, pameran dan gerai jualan, latihan dan konsultasi, hiburan dan infotainment, konsert dan persembahan artis tanah air.

Selain itu, KJM 2017 turut membawa konsep yang menggabungkan beberapa program berimpak tinggi inisiatif KPDNKK menerusi satu jenama antaranya Sambutan Hari Francais Kebangsaan, Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan, Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia dan Kempen Back To School.

Antara pempamer yang mengesahkan penyertaan mereka adalah AEON Co, AEON Big, TESCO, LULU Hypermarket serta jenama terkenal seperti Munchys, PTS Bookstore, Cotton On, Petronas, yang turut menawarkan potongan harga hingga 70 peratus.