PARIT BUNTAR: Sebanyak 3,000 peluang pekerjaan ditawarkan oleh 30 syarikat pada Karnival Kerjaya dan Pendidikan Belia Negara yang diadakan di Dataran Alamanda di sini selama dua hari mulai 25 Mac ini.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Mua’amar Ghadafi Jamal Jamaludin berkata program anjuran MBM, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), kerajaan negeri serta Pusat Kerjaya Perak Aman Jaya itu sebagai usaha membantu belia mencari pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan mereka.

Beliau berkata karnival itu juga menjadi platform bagi golongan belia mendapatkan informasi mengenai inisiatif kerajaan membantu mereka dalam pelbagai bidang termasuk keusahawanan dan peluang perniagaan.

“Bagi golongan belia yang berhasrat melanjutkan pengajian dari peringkat sijil, diploma dan ijazah, sebanyak 30 institusi pengajian tinggi, kolej kemahiran dan institut latihan perindustrian akan menyertai karnival itu,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Menurutnya, karnival yang bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang itu turut diselitkan dengan pelbagai forum termasuk TN50 Talk yang menampilkan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan Perak Datuk Shahrul Zaman Yahaya dan Ketua UMNO Bahagian Parit Buntar, Datuk Abu Bakar Mat Ali.

Selain itu, katanya karnival itu turut diserikan dengan penampilan artis kelahiran daerah Kerian iaitu Shuib Sepahtu. – Bernama